Save Palestine!


January 1, 2009

Assalammualaikum dan salam sejahtera,

Pertama kali izinkan saya mengucapkan salam pekenalan dari AJ blogspot. Belum terlewat untuk saya mendoakan agar dianugerahkan kesihatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat, dilanjutkan usia bagi memantapkan keimanan dan ketaqwaan, dilimpahkan rezki yang seluas-luasnya dan berpanjangan bagi membantu anak-anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal yang memerlukan bantuan dan rakyat Palestin yang sedang ditindas Yahudi.

Bersempena dengan Maal Hijrah pada 29 Disember 2008 bersamaan 1 Muharram 1430H, saya mengucapkan salam Maal Hijrah dan selamat menyambut Tahun 2009 yang bermula pada hari ini 1 Januari 2009. Harapan dan doa kita bersama, agar 1430H dan Tahun 2009 memberi sinar yang cerah kepada keluarga, masyarakat dan rakyat Malaysia.

Tahun 2008 memberi banyak pengalaman suka duka, tangis dan gembira. Adakah kita lebih banyak berduka dan menangis mengenang pelbagai peristewa pahit yang menimpa? Bencana alam yang melanda hasil tangan manusia sendiri, kematian saudara mara dimerata jalanraya, anak-anak kehilangan ibu bapa dimerata dunia angkara kuasa dan senjata, suami dipenjara hanya kerana perbedaan pandangan dan idealogi, mayat-mayat bergelimpangan di Palestin, Iraq, Pakistan, Afghanistan setiap hari, perbelanjaan membeli senjata lebih hebat dari menyediakan makanan kepada yang kelaparan dan kebuluran, masih ramai manusia di dunia ini tidak mampu menyediakan susu anak dan jauh sekali memberi pendidikan dan pelajaran. Senarai duka nestapa manusia di dunia terlalu panjang untuk dipaparkan disini...............ini semua angkara siapa?

Tahun 2008, kita sebagai rakyat Malaysia tersenyum sampai ketelinga dan bangga menonton Dr.Muzhafar ke angkasa, Pemain badminton kita bertarung hebat di sukan olimpik, terkejut beruk dengan kenaikan harga minyak petrol naik macam roket Dr.Muzhafar, tersenyum sinis melihat senario politik dan gelagat ahli-ahli politik, sedih sampai kini kemana perginya Sharlinie, sedih mengenang anak-anak gadis kita keluar negara digoda penyangak dadah antarabangsa, jenayah ragut, rogol, pecah rumah dan bunuh saban hari didada akhbar........apa harapan kita pada 2009 ini?

Sampai sini dulu sebagai mukaddimah. Kita jumpa lagi insya Allah.

Salam,

AJ.